Translate

Tuesday, January 20, 2026

‘Tanah, chalet saya dalam laut’

 Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN dan MOHD. AZLI ADLAN

PEKAN – “Dulu saya gembira ada tanah dan chalet sendiri tetapi kini semuanya sudah berada dalam laut.” 

Demikian kata Edde Firdaus Abdul Aziz, 46, yang kehilangan satu hektar tanah susulan kejadian hakisan di Nenasi di sini. 

Lelaki yang juga dikenali sebagai Pak Yus itu berkata, dia membeli tanah seluas 1.4 hektar berharga RM350,000 sebelum memba­ngunkan chalet Kekunang pada tahun 2016.

 Bagaimanapun, lebih separuh atau satu hektar daripada tanah miliknya lenyap menjadi laut dan kini keluasannya tinggal kurang daripada 0.4 hektar.

Tanah dan binaan chalet menjadi sebahagian daripada laut. 

“Walaupun projek pemuliharaan pantai dilaksanakan, namun sehingga kini hakisan terus berlaku dan keadaan makin teruk. 

“Sewaktu mula-mula dulu (projek pemuliharaan pantai), memang saya menaruh harapan besar agar tanah ini akan selamat daripada hakisan, tetapi apabila melihat situasi sekarang, saya berasa kecewa, sedih dan putus asa,” katanya ketika meninjau lokasi tersebut semalam. 

Ekoran kejadian hakisan itu, Edde Firdaus mendakwa dia mengalami kerugian kira-kira RM700,000. Katanya, ketika ini chalet yang terletak paling hampir dengan daratan dijangka menerima nasib sama kerana telah tumbang disebabkan hakisan kuat.

 “Mungkin chalet ini akan ditelan laut tidak lama lagi kerana tiada langkah yang tuntas dilakukan,” katanya. 

Lelaki itu berkata, Chalet Kekunang hanya sempat beroperasi selama lima tahun sebelum ‘rebah’ satu persatu disebabkan hakisan. 

Sebelum ini, chalet itu yang mempunyai tujuh rumah menjadi tarikan pelancong asing kerana unik termasuk didirikan atas pokok selain mempunyai pelbagai kemudahan. 

Sementara itu, pemilik Mek Kiting Chalet Campsite, Mohamad Maidin, 74, berkata, situasi hakisan yang semakin ‘agresif’ turut membimbangkan dirinya dan pemilik chalet lain. 

Katanya, tahun ini, kira-kira sembilan meter pantai terhakis berbanding tiga meter sebelum ini yang disifatkan terburuk setakat ini. 

“Akibat hakisan, satu persatu pokok rhu di hadapan chalet saya tumbang. Setakat ini 20 batang pokok telah tumbang kerana hakisan. Saya juga kehilangan bot yang diletakkan di pantai disebabkan hakisan dan ombak kuat,” katanya. 

Dakwanya, keadaan hakisan dilihat bertambah buruk selepas pembinaan benteng batu di Kuala Nenasi di sini. 

Di Kuala Nerus, Terengganu, penduduk Kampung Pantai, Batu Rakit hanya mampu mengalirkan air mata apabila rumah pusaka yang berusia lebih 80 tahun lenyap akibat hakisan pada November lalu.

 Zamri Sulong, 43, berkata, rumah yang dibina datuknya pada tahun 1940-an itu sudah tidak mampu menahan ombak besar lalu roboh.

 “Pada mulanya, tebing rumah terhakis sedikit demi sedikit ekoran ombak besar sejak September, hakisan kemudian merebak ke bahagian tapak rumah sebelum roboh sepenuhnya hujung tahun lalu,” katanya. 

Zamri sekeluarga bernasib baik kerana mereka sempat berpindah dengan menyewa di kawasan berhampiran. 

“Memang sedih tanah pusaka lenyap jadi laut. Tiada lagi rumah yang menjadi saksi suka duka keluarga besar kami,” katanya. 

Manan Ali, 72, pula berkata, tanah miliknya yang pernah dibina kedai makan dan bangsal untuk menjemur sotong dan ikan sejak tahun 1986 turut ‘hanyut’ ke laut tahun lalu. 

“Ketika itu (1986) kedudukannya lebih 100 meter dari pantai. Siapa sangka sekarang sudah ditelan laut menyebabkan saya kerugian lebih RM20,000 tidak termasuk nilai semasa hartanah,” ujarnya. 

Manan berkata, disebabkan itu, dia terpaksa membina bangsal menjemur sotong dan ikan di rumahnya yang terletak agak jauh dari pesisir pantai.

No comments:

Post a Comment