KEMAMAN – Kerajaan telah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan cuaca panas dan ancaman jerebu berikutan peralihan Monsun Barat Daya bermula Sabtu lalu.
Menteri Alam Sekitar dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pemantauan titik panas bukan sahaja dilakukan di seluruh negara malah melangkaui rantau Asia Tenggara.
“Sudah nampak cuaca panas apabila masuk peralihan (Monsun Barat Daya). Kita akan buat balik mesyuarat Jawatankuasa Induk Cuaca Panas dan Kering.
“Ia melibatkan pelbagai kementerian dan jabatan termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Peladangan dan Komoditi untuk menyelaras tindakan sekiranya cuaca panas ini berpanjangan dan berlakunya jerebu serius,” katanya ketika ditemui di Jakar di sini semalam.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Dr Mohd. Hisham Mohd. Anip memberitahu Monsun Barat Daya bermula Sabtu lalu akan menyebabkan taburan hujan rendah di kebanyakan kawasan di negara ini.
Nik Nazmi berkata, perbincangan dengan menteri sejawat di negara-negara jiran juga akan diadakan bagi menangani cuaca panas dan ancaman jerebu terbabit secara bersama.
Beliau berkata, keadaan pada masa ini masih terkawal dengan hanya satu titik panas dikesan di Sarawak.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, JAS akan terus memantau pelepasan asap hitam, gas dan bunyi kenderaan yang boleh mencemarkan alam sekitar terutama pada musim panas ini.
Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 248 notis kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan terlibat atas kesalahan tersebut sejak awal tahun ini.
“Operasi Gerak Kenderaan Bermotor yang telah diadakan di seluruh negara telah memeriksa 90,024 kenderaan sejak awal tahun ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment