Translate

Thursday, January 29, 2026

Doa ibu, jasad Zarif ditemui terdampar selepas 32 jam

KUALA NERUS – Doa seorang ibu yang menanti lebih 32 jam agar seorang kanak-kanak yang ditarik ombak besar di Pantai Sauh, Kampung Pengkalan Atap, di sini, Jumaat lalu berakhir apabila jasadnya ditemui semalam. 

Mayat Muhammad Zarif Mohd. Hazahari, 5, ditemui terdampar di Pantai Mengabang Panjang di sini, pada pukul 3 pagi. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mayat mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat serta penduduk kampung. 

“Sewaktu ditemui mayat anak kelima daripada enam beradik itu berada dalam keadaan 90 peratus sempurna. 

“Lokasi penemuan kira-kira enam kilometer (km) dari lokasi dia ditarik ombak besar di Pantai Sauh, Kampung Pengkalan Atap, di sini,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Kosmo! semalam melaporkan, Muhammad Zarif yang sepatutnya mendaftar masuk ke prasekolah semalam ditarik ombak besar sewaktu mahu mencuci kaki di tepi Pantai Sauh pada pukul 6.32 petang Jumaat lalu. 

Keadaan bertambah sayu apabila ibu Muhammad Zarif, Siti Hajar Ismail, 42, tidak tidur semalaman selain membaca alQuran, berdoa sepanjang masa agar jasad mangsa ditemui. 

Sementara itu, Siti Hajar berkata, biarpun sedih kehilangan anak, dia bersyukur jasad Muhammad Zarif ditemui setelah lebih 32 jam hanyut di laut. 

“Alhamdulillah, doa tanpa henti saya agar jasad anak (Muhammad Zarif) ditemui dimakbulkan Allah biarpun dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

 “Saya reda dengan ketentuan Allah. Terima kasih semua pihak yang berdoa dan membantu pencarian anak saya,” katanya ketika ditemui selepas mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Rakit, di sini semalam.

No comments:

Post a Comment