KUALA TERENGGANU – TDM Berhad menerusi anak syarikatnya, Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) akan membangunkan pusat perubatan baharu, KMI Bertam di Seberang Perai Utara yang dijangka mula beroperasi pada 2028.
Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Rayney Azmi Ali berkata, KMI Bertam dibina dengan kerjasama Bertam Specialist Hospital Sdn. Bhd. (BSH) melibatkan kos pembangunan kasar RM146 juta.
Ujarnya, KMI Bertam akan dibina di lokasi strategik seluas 0.85 hektar berhampiran susur keluar Plaza Tol Kepala Batas, Lebuh Raya Utara-Selatan.
“KMI Bertam akan dilengkapi kemudahan 100 katil dan prasarana pembedahan canggih seperti pusat perkhidmatan cemerlang, perkhidmatan diagnostik dan unit penjagaan pesakit berpusat.
“Ia menawarkan perkhidmatan perubatan asas serta penjagaan khusus moden dan terkini buat komuniti wilayah Utara khususnya Seberang Perai,” katanya di sini kelmarin.
Terdahulu, beliau mewakili KMI Healthcare, manakala BSH diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Seri A. K. Teng untuk menandatangani Perjanjian Membina dan Menyewa KMI Bertam.
Rayney Azmi berkata, KMI Bertam juga menyasarkan pelancong asing bagi memanfaatkan potensi pelancongan perubatan di Pulau Pinang.
Pembinaan KMI Bertam bakal bermula tidak lama lagi dan dijangka siap dalam tiga tahun.
“KMI Bertam akan menyewa kemudahan hospital daripada BSH untuk tempoh awal selama 18 tahun, dengan pilihan lanjutan sewa selama 12 tahun lagi bagi memastikan kelestarian operasi jangka panjang,” katanya.

No comments:
Post a Comment