KUALA TERENGGANU – Keluarga Syakirah Hanan Mazli memberitahu hasrat Allahyarham mengikut jejak ibu bapanya untuk menjadi guru berkecai apabila dia maut selepas dirempuh sebuah kereta Honda Jazz di Jalan Kemajuan di sini kelmarin.
Mazli Yusoh, 51, berkata, kejadian pada pukul 1.30 tengah hari itu berlaku ketika anaknya dalam perjalanan untuk mengambil permit mengajar di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.
Katanya, anak kedua daripada tujuh beradik itu mahu menjadi guru sebaik mendapat Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir dua tahun lalu.
“Dia telah mengambil Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (Pendidikan Islam) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) secara separuh masa tahun lalu.
“Dia bekerja sementara di Tadika Zahir Annur, Batu Buruk di sini,” katanya.
Terdahulu jenazah Syakirah Hanan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar Kuala Bedah di sini.
“Jadual anak saya sangat padat dan sekarang Allah SWT panggil agar dia dapat berehat daripada kesibukan dunia,” kata guru SMK Putra, Besut itu.
Dalam pada itu, anak murid gadis itu mula merindui Allahyarham dan kerap mengatakan mereka sayang dan mahu jumpa Syakirah.
Mira Rozaliya Mohamad Rozaini, 34, berkata, anaknya, Hana Melissa Ahmad Fariz, 7, antara yang rapat dengan Allahyarham.
“Mereka banyak buat aktiviti bersama. Arwah sangat baik, sentiasa senyum, bercakap lembut dan penuh sopan,” katanya.
No comments:
Post a Comment