Oleh MOHD. AZLI ADLAN
BESUT – Gara-gara terlalu takut digertak kononnya akan ditangkap kerana terlibat dalam kegiatan jenayah, seorang pesara guru mengalami kerugian RM181,900 selepas diperdaya scammer.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md. Sani Md. Saleh berkata, pada mulanya, mangsa berusia 60 tahun telah menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa kononnya wakil sebuah syarikat insurans pada pukul 10.30 pagi, 2 September tahun lalu.
“Mangsa yang menetap Kampung Chegar Batang di sini didakwa kononnya telah membuat tuntutan insurans palsu dan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
“Suspek kemudian mengarahkan pesara guru terbabit membuka akaun bank baharu kononnya untuk menyiasat wang milik mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Menurutnya, lelaki warga emas terbabit yang ketakutan akur dengan arahan suspek dengan membuka akaun bank baharu.
Katanya, mangsa membuka akaun bank tersebut menggunakan nama anaknya di cawangan bank terbabit di Machang, Kelantan.
“Mangsa kemudian memberikan gambar butiran kad ATM (mesin pengeluaran wang automatik) tersebut kepada suspek.
“Dia juga menyuruh anaknya memasukkan wang berjumlah keseluruhan RM170,000 secara berperingkat ke dalam akaun bank terbabit,” katanya.
Ujarnya, mangsa kemudian terus mengikuti arahan suspek dengan memasukkan wang tambahan berjumlah RM11,900 lagi ke akaun bank lain.
Katanya, pesara guru akhirnya menyedari dirinya tertipu apabila mendapati baki akaun bank yang baru dibukanya tersebut hanya tinggal RM104.55.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Orang ramai diminta berhati-hati agar tidak mudah terperdaya dengan panggilan telefon daripada pihak tidak dikenali,” katanya.
No comments:
Post a Comment