KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pesara wanita untuk membeli mangga harumanis bukan sahaja tidak kesampaian, malah wang simpanan berjumlah RM67,573 hilang dikebas sindiket penipuan.
Mangsa berusia 61 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 11.27 pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pesara terbabit membeli mangga harumanis di laman Facebook pada pukul 9 pagi, Selasa lalu.
“Mangsa kemudian diberi kod pembelian oleh ‘peniaga’ terbabit kononnya sebagai pengesahan. “Dia juga diminta menghantar semula kod tersebut kepada suspek setelah membuat pengesahan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Azli berkata, wanita itu kemudian cemas apabila menyedari wang simpanan di dalam akaun banknya tiba-tiba hilang pada pukul 10 pagi kelmarin.
Beliau berkata, mangsa yang kehilangan wang simpanan sebanyak RM67,573.63 terus menghubungi pihak bank untuk menyekat akaunnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment