Translate

Saturday, January 24, 2026

Ahli perniagaan hilang RM2.71 juta lepas kena gertak

 KUALA TERENGGANU – Gara-gara takut digertak sindiket penipuan atau scammer kononnya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, seorang ahli perniagaan kerugian lebih RM2.71 juta selepas diperdaya. 

Lelaki berusia 64 tahun itu yang menyedari ditipu telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu, di sini kelmarin. 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, pada mulanya, ahli perniagaan tersebut telah dihubungi individu tidak dikenali mendakwa kononnya pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor.

“Panggilan kemudiannya disambung kepada suspek lain mengaku kononnya Timbalan Pendakwa Raya. “Mangsa terkejut apabila didakwa suspek kononnya dia terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram,” katanya di sini semalam. 

Katanya, lelaki warga emas itu yang ketakutan akur dengan arahan suspek agar mendedahkan maklumat perbankannya kononnya bagi tujuan penyiasatan dan penyelesaian kes. 

Beliau berkata, ahli perniagaan tersebut juga tidak dibenarkan melakukan sebarang transaksi melibatkan akaun banknya itu dalam tempoh lima bulan bermula September tahun lalu. 

“Mangsa turut tidak dibenarkan memeriksa akaun banknya yang mengandungi RM2,707,965 sepanjang tempoh sama. 

“Dia hanya berhubung dengan suspek menerusi panggilan telefon sehinggalah menyedari diri nya telah ditipu beberapa hari lalu,” katanya. 

Mohd. Khairi berkata, wang simpanan lelaki warga emas berkenaan telah dipindahkan ke lima akaun bank berasingan menerusi 55 kali transaksi bermula September tahun lalu. 

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment