HULU TERENGGANU – Polis menggagalkan aktiviti mencuri bekalan elektrik untuk melombong bitcoin secara haram menerusi serbuan di dua premis masing-masing di Bukit Perpat, di sini dan Wakaf Tapai, Marang kelmarin.
Serbuan bermula pada pukul 1.45 petang itu mendapati kedua-dua premis berkenaan mempunyai penyambungan pendawaian haram disyaki untuk mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, serbuan di premis pertama yang merupakan sebuah lot rumah kedai di Bukit Perpat berjaya merampas 21 mesin pelombongan Bitcoin.
“Selain itu, tiga unit alat agihan arus elektrik, alat pemutus litar elektrik, kipas pendingin industri, peranti penghala Internet tanpa wajar dan penukar rangkaian turut disita.
“Kesemua barang rampasan terbabit kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu di sini untuk siasatan lanjut,” katanya di sini semalam.
Mohd. Khairi berkata, serbuan kedua di lot rumah kedai di Wakaf Tapai, Marang juga turut menjumpai 23 mesin melombong bitcoin, tiga alat agihan arus elektrik dan alat pemutus litar elektrik.
Beliau berkata, kipas pendingin industri, peranti penghala Internet tanpa wajar dan penukar rangkaian turut dirampas dan dibawa ke IPD Marang untuk tindakan lanjut.
“Kedua-dua premis tidak berpenghuni sewaktu serbuan dilakukan. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta sama serta Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990," katanya.
Mohd. Khairi memberitahu perbuatan mencuri bekalan elektrik untuk melombong mata wang kripto adalah menyalahi undang-undang. Tindakan itu bukan sahaja merugikan syarikat pembekal utiliti, malah membahayakan keselamatan diri an orang sekeliling.

No comments:
Post a Comment