MARANG – Pas mengesahkan akan mengambil alih kepimpinan Perikatan Nasional (PN) berikutan peletakan jawatan pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuatkuasa kelmarin.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan barisan kepimpinan baharu PN akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis tertinggi gabungan pembangkang tersebut pada masa terdekat.
“Kita (Pas) sudah buat keputusan akan ambil alih (kepimpinan) PN. Akan bincang (pengerusi baharu) secepat mungkin, mungkin minggu depan.
“Mesyuarat (Majlis Tertinggi PN) itu akan dihadiri kepimpinan yang masih tinggal.
“Yang sudah meletak jawatan, terpulang kepada mereka,” katanya ketika ditemui di Masjid Rusila di sini semalam.
Terdahulu Muhyiddin yang Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN.
Keputusan tersebut turut diikuti oleh beberapa pemimpin parti itu di peringkat pusat dan negeri termasuk Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Sebelum ini, timbul pertikaian antara Pas dan Bersatu berikutan kemelut politik di Perlis yang menyaksikan peletakan jawatan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli yang digantikan dengan Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu.
Abdul Hadi bagaimanapun membayangkan keberatan untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi PN baharu berikutan tahap kesihatannya pada masa ini yang sedikit uzur.
Sebaliknya Ahli Parlimen Marang itu memberitahu, pemimpin kanan Pas lain akan dicadangkan untuk menyandang jawatan tertinggi PN tersebut.
“Dalam Pas banyak (pemimpin yang layak menerajui PN) dalam kalangan ahli politik dan teknorat,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan, hubungan Pas dan Bersatu yang merupakan parti politik utama dalam gabungan PN masih utuh di sebalik peletakan jawatan Muhyiddin tersebut.
Beliau juga membayangkan mahu berbaik semula dengan UMNO bagi menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) demi menyatukan orang Melayu dan umat Islam di negara ini serta bukan Islam yang tidak ekstrem.
Sebelum ini, MN terkubur berikutan keputusan Pas untuk bersama Bersatu bergabung dalam PN yang turut dianggotai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 2022.

No comments:
Post a Comment