KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar Maahad Tahfiz Quran Terengganu maut selepas motosikal yang dinaiki bertembung dengan motosikal lain di Jalan Pengadang Baharu di sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 10.45 malam itu mengorbankan Muhammad Adam Syakir Rahmat, 19. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Hafeeq Izzuan Mohd. Izzad Izzuan, 19, yang menunggang motosikal Yamaha Y125 pula parah pada beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Hafeeq Izzuan yang juga pelajar dalam perjalanan ke pulang ke rumahnya di Kampung Gong Kiat dari Kepong di sini.
“Setibanya di lokasi kejadian berhampiran persimpangan Sungai Rengas, motosikal Honda RS150R dinaiki Muhammad Adam Syakir dikatakan tiba-tiba keluar dari simpang untuk memasuki persimpangan Taman Adeli 2 di sini.
“Motosikal Muhammad Hafeeq Izzuan gagal mengelak lalu bertembung dengan motosikal mangsa,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mayat remaja itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat. Seorang lagi mangsa, Muhammad Hafeeq Izzuan yang parah pula dikejarkan ke Unit Kecemasan hospital sama.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

No comments:
Post a Comment