Translate

Friday, January 23, 2026

Jambatan Angkat Kuala Terengganu dijana tenaga solar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Jambatan Angkat Kuala Terengganu menjadi jambatan pertama di dunia beroperasi hampir sepenuhnya dengan janaan tenaga boleh diperbaharui (RE). 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd (TI), Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, inisiatif penggunaan 98 peratus tenaga solar tersebut telah mendapat pengiktirafan badan antarabangsa, The International Tracking Standard Foundation baru-baru ini.

 Beliau berkata, menara utara dan selatan jambatan terbabit masing-masing dijana oleh tenaga solar sebanyak 176 megawatt dan 294 megawatt setahun. 

“Ia merupakan inisiatif bagi menyokong aspirasi negara untuk mencapai matlamat kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

“Langkah beralih kepada RE ini juga mampu melonjakkan lagi Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebagai destinasi pelancongan pilihan di peringkat global,” katanya. 

Beliau berkata pada majlis pemeteraian perjanjian pengendalian dan pengurusan operasi Jambatan Angkat Kuala Terengganu dengan kerajaan negeri Terengganu di sini baru-baru ini. 

Perjanjian itu menjadikan TI Properties yang merupakan anak syarikat TI terus menjadi operator pengendalian dan pengurusan operasi ikon pelancongan Terengganu tersebut untuk tempoh lima tahun sehingga 2029. 

Dalam perkembangan sama, Burhanuddin Hilmi berkata, TI Properties menyasarkan untuk menarik kehadiran sejuta pengunjung ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu menjelang tahun 2029. 

Beliau berkata, setakat ini, kira-kira 500,000 orang mengunjungi ikon pelancongan Terengganu sejak dibuka tahun 2019. 

“Kita menyasar untuk mencapai sejuta orang mengunjungi Jambatan Angkat Kuala Terengganu dalam tempoh lima tahun kedua TI Properties mengoperasinya sehingga 2029. 

“Berdasarkan unjuran itu, antara 100,000 hingga 150,000 dijangka mengunjungi Jambatan Angkat Kuala Terengganu ini setiap tahun,” katanya. 

Burhanuddin Hilmi berkata, destinasi tersebut menjana pendapatan menerusi pembukaan galeri di menara tinjau, kafe, jualan cenderamata dan sewaan dewan.

No comments:

Post a Comment