Translate

Thursday, January 22, 2026

Peguam didakwa subahat edar dadah

 

MARANG – Seorang peguam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam, atas tiga pertuduhan bersubahat dengan seorang banduan Penjara Marang dalam kegiatan mengedar dan memiliki dadah, akhir bulan lalu. 

Tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh, Che Muhammad Amir Syafiq Che Musa, 32, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Athirah Hashim. 

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa bersubahat dengan Muhammad Syafiq Syahmi Mohamad Zafri, 26, mengedar methamphetamine seberat 123 gram di dalam lokap Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu di antara pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari, 23 Disember lalu.

 Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 33 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup mengikut Seksyen 39B (2) jika sabit kesalahan.

 Dia juga didakwa bersubahat dengan individu sama memiliki dadah jenis ganja seberat 21 gram dan nimetazepam seberat 13 gram di lokasi, tarikh dan masa sama.

 Muhammad Syafiq Syahmi yang juga banduan di Penjara Marang juga dihadapkan atas pertuduhan mengedar methamphetamine seberat 123 gram dan memiliki dadah jenis ganja seberat 21 gram serta nimetazepam (13 gram).

 Kesemua perbuatan didakwa dilakukan di Penjara Marang di antara pukul 1 tengah hari, 24 Disember hingga 9.30 pagi, 25 Disember lalu. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap keduadua tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 April ini.

No comments:

Post a Comment