Translate

Tuesday, January 27, 2026

Doktor rugi RM86,200 ditipu skim pelaburan kripto palsu

 

KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pegawai perubatan sebuah hospital di bandar raya ini untuk meraih keuntungan berganda daripada pelaburan kripto musnah apabila mengalami kerugian RM86,200 akibat diperdaya sindiket penipuan atau scammer. 

Wanita berusia 39 tahun itu yang menyedari tertipu telah membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini, pada pukul 4.16 petang kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Nor berkata, pada mulanya mangsa menyertai kumpulan WhatsApp berkaitan pasaran saham yang diperkenalkan oleh seorang lelaki Oktober tahun lalu. 

“Sebulan kemudian, dia mula diperkenalkan dengan skim pelaburan kripto oleh kumpulan WhatsApp itu. “Mangsa yang tertarik telah mengeluarkan wang simpanan berjumlah keseluruhan RM86,200 untuk menyertai pelaburan skim itu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

Azli berkata, kesemua pelaburan itu dilakukan dalam lima transaksi antara 21 November hingga 31 Disember tahun lalu. 

Bagaimanapun katanya, pegawai perubatan tersebut mendapati dia sukar mengeluarkan keuntungan daripada skim pelaburan tersebut dengan pelbagai alasan diberikan. 

“Antara alasan itu kononnya akaun pelaburan kripto mangsa telah dibekukan. 

“Dia kemudian diarah untuk melakukan pindahan wang tambahan dalam mata wang kripto iaitu Tether berjumlah kira-kira RM1.6 juta,” katanya. 

Azli berkata, pembayaran itu kononnya bagi mengesan semakan sumber pendapatan sebelum keuntungan skim kripto boleh dikeluarkan. 

Wanita tersebut katanya, enggan mengikut arahan itu dan mula meragui skim berkenaan serta menyedari dirinya tertipu.

No comments:

Post a Comment