BESUT – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya melumpuhkan sebuah sindiket penyeludupan yang aktif mengedarkan rokok tanpa cukai di Pantai Timur kelmarin.
Serbuan di sebuah jeti dan kedai runcit di Kuala Besut antara pukul 5.30 pagi hingga 6.30 pagi berjaya merampas rokok disyaki diseludup bernilai keseluruhan RM175,170 dan seorang lelaki warga Pakistan disyaki tali barut sindiket berkenaan ditahan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan pertama di sebuah jeti di Kuala Besut berjaya merampas 50,000 batang rokok disyaki seludup yang disimpan dalam kereta Honda City.
“Kereta Honda yang dipandu dalam keadaan mencurigakan oleh seorang lelaki warga Pakistan berusia 34 tahun. Dia ditahan pada pukul 5.30 pagi.
“Pemeriksaan di dalam kenderaan itu kemudian menjumpai sejumlah rokok disimpan kotak-kotak berwarna coklat,” katanya di sini semalam.
Ahmad Radzi berkata, kereta Honda City terlibat turut disita bagi membantu siasatan. Beliau berkata, penemuan rokok disyaki seludup tersebut kemudian membawa kepada serbuan kedua di sebuah kedai runcit di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut di sini kira-kira sejam kemudian.
“Serbuan tersebut berjaya menemukan beberapa kotak yang mengandungi 36,200 batang rokok juga disyaki diseludup,” katanya.

No comments:
Post a Comment