Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki warga emas yang juga pesara kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan memukul isterinya hingga cedera pada bulan lalu.
Sidik @ Ismail Mamat, 76, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkfifli. Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memukul isterinya, Khatijah Muhammad, 70, sehingga cedera.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan Sidik di sebuah rumah di Kampung Gong Pasir, Dungun pada pukul 10 malam, 23 Februari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Dia juga berhadapan pertuduhan mengikut Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum di bawah Seksyen 325.
Mahkamah membenarkan Sidik dibebaskan dengan wang jaminan RM8,000 dan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 13 April depan.
Tertuduh juga diarahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan dan tidak mengganggu mangsa sepanjang tempoh prosiding.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim.

No comments:
Post a Comment