Oleh MOHD AZLI ADLAN dan ROHANA MOHD. NAWI
KUALA TERENGGANU – Lonjakan harga emas ke paras tertinggi sehingga mencecah RM515 segram semalam menyaksikan ramai peniaga mula menukar strategik jualan dengan menawarkan harga ‘berpatutan’ kepada pelanggan bagi setiap pembelian barang kemas.
Menurut mereka, harga semasa emas ketika ini banyak dipengaruhi oleh tarif baharu yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) dan ia lebih tinggi berbanding harga RM450 segram yang dicatat pada bulan Ramadan lalu.
Seorang pengusaha kedai emas di Pasar Besar Kedai Payang di sini, Zakaria Yusoff berkata, kenaikan tersebut mengatasi jangkaan awal iaitu RM500 segram pada hujung tahun ini.
“Memang tidak terkejut dengan kenaikan harga emas ketika ini dan sebagai pengusaha emas di Terengganu, kami juga sudah sepakat menawarkan harga lebih rendah daripada harga siling iaitu RM444 segram.
“Semasa harga RM450 segram pada bulan Ramadan lalu, kami juga tawarkan harga rendah iaitu RM405 segram,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Zakaria berkata, pengusaha kedai emas di Terengganu mengenakan harga lebih murah bertujuan untuk menarik pelanggan agar tetap membeli emas di sebalik lonjakan mendadak harga barang kemas itu.
Beliau berkata, persaingan dalam kalangan pengusaha kedai emas tempatan juga tinggi, sekali gus memberi cabaran kepada ramai peniaga sepertinya.
“Pasar Besar Kedai Payang mempunyai 63 pengusaha kedai emas. Biar tidak dapat untung banyak, asalkan urus niaga terus berlangsung,” katanya.
Zakaria berkata, kebanyakan pelanggan yang datang berurus niaga membuat pembelian secara tukar beli dengan barangan kemas lama.
Di Kota Bharu, kenaikan harga emas mendorong pemilik barang kemas menjual dan menukar barang kemas yang baharu sebagai simpanan.
Setakat semalam, harga semasa emas di daerah ini mencapai RM451 segram, berbanding RM440 kelmarin.
Pekerja kedai emas, Normalina Ahmad, 53, bekata, orang ramai mula menyerbu kedai emas sejak semalam untuk menjual dan menukar emas baru selepas mendapati harga emas naik mendadak.
Katanya, setiap hari ada sahaja pelanggan yang datang untuk menjual emas terpakai milik mereka semata-mata untuk memperoleh keuntungan yang berlipat ganda.
“Ada juga yang mengambil peluang menukar emas lama dan bukan sekadar perhiasan diri malah untuk disimpan.
“Malah ada pelanggan yang datang menjual pelbagai corak barang kemas mereka sehingga melebihi RM50,000,” katanya.
Noramalina berkata, dia juga terkejut kerana permintaan terhadap barang kemas tetap tinggi di sebalik lonjakan harga semasa emas ketika ini.
“Orang Kelantan memang suka memakai barang kemas dan mereka tetap membeli walaupun harganya naik.
“Bagaimanapun, selepas sambutan Aidilfitri, trend pembelian agak berkurangan,” katanya.
Seorang wanita, Rohani Ibrahim, 61, berkata, dia bergegas ke kedai emas untuk menjual beberapa jenis barang kemas miliknya termasuk rantai tangan dan rantai leher berjumlah RM45,000.
“Saya juga tukar emas lama kepada yang baru untuk simpanan hari tua. Lagipun, harga emas yang tinggi mendorong pemilik barang kemas menjual emas masing-masing,” katanya.

No comments:
Post a Comment