Translate

Thursday, January 15, 2026

14 ajaran sesat dalam pemantauan

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Kerajaan akan terus memantau ajaran sesat yang tidak pernah ‘tidur’ dengan cubaan menyebarkan dakyah mempengaruhi dan mencemari pemikiran rakyat. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, sebanyak 14 ajaran salah yang dikesan masih bergerak aktif di negara ini dan sentiasa berada dalam radar pemantauan kerajaan agar tidak menggugat keimanan umat Islam dan mengancam keselamatan negara.

 Beliau berkata, institusi hal ehwal agama Islam Persekutuan dan negeri sentiasa menjalin kerjasama erat dengan pihak berkuasa bagi membanteras ajaran sesat berkenaan.

 “Sejarah menunjukkan ajaranajaran sesat tidak pernah ‘tidur’ dengan cubaan-cubaan mempengaruhi dan mencemari pemikiran rakyat. 

“Kita sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pihak hal ehwal agama melakukan pemantauan dan penguatkuasaan mengikut lunas undang-undang,” katanya di sini semalam. 

Terdahulu beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan pasca bencana banjir sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapiem). 

Kosmo! Pada 1 Januari lalu melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti dan sedang memantau rapi 14 ajaran sesat yang dikesan masih bergerak aktif di negara ini. 

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, antara ajaran sesat terbabit ialah Perjalanan Mimpi Yang Terakhir, Dewan Perkasa Ekonomi Islam, Millah Abraham, Nur Mutiara Mutmainnah, The Ahmadi Religion of Peace and Light. 

Zulkifli berkata, institusi hal ehwal agama dan persekutuan seperti Jabatan Mufti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sentiasa proaktif melakukan pencerahan terhadap isu ajaran sesat. 

Katanya, agensi sama memainkan peranan menonjolkan ajaran Islam sebenar untuk meningkatkan kefahaman rakyat.

No comments:

Post a Comment