Translate

Wednesday, January 28, 2026

Orang muda mudah terjebak hutang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

LITERASI atau tahap kefahaman kewangan rakyat terutama golongan muda amat rendah iaitu sekitar 32 peratus. 

Jumlah itu lebih rendah berbanding purata literasi kewangan di peringkat global iaitu 42 peratus. Ketidakcekapan mengatur kewangan peribadi menyebabkan ramai orang muda terjebak dengan beban hutang. 

Ia dibuktikan dengan statistik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) baru-baru ini yang menunjukkan individu berusia antara 30 dan 40 tahun merupakan golongan terbesar atau 41 peratus bermasalah untuk membayar hutang di negara ini. 

Selain itu, data sama mendapati nilai terkumpul hutang yang dilakukan golongan muda bawah 30 tahun juga tinggi sebanyak RM1.9 bilion.

Lebih parah, 28 peratus daripada rakyat negara ini terpaksa berhutang hanya semata-mata untuk membeli barang keperluan. 

Pensyarah Kewangan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Siti Nurain Muhmad berkata, senario membimbangkan itu disebabkan kegagalan individu terlibat membezakan keperluan dengan kehendak hidup. 

Beliau berkata, ramai terdorong membeli barangan kehendak demi menjaga penampilan atau status sosial semata-mata. 

“Kebanyakan generasi muda sekarang ini mendambakan gaya hidup yang amat dipengaruhi oleh media sosial. 

“Budaya fear of missing out atau FOMO (rasa bimbang ketinggalan) mengeruhkan lagi keadaan,” katanya kepada Kosmo!. 

Siti Nurain berkata, amalan berhutang pada masa ini juga telah dipermudah dengan penawaran kemudahan Bayar Dahulu, Beli Kemudian (BNPL) dalam transaksi seharian. 

Beliau berkata, gaya hidup melebihi kemampuan tersebut jelas menjadi penyumbang utama golongan muda mudah terperangkap dalam kitaran hutang. 

“Kos sara hidup mereka meningkat mendadak, sekali gus sukar untuk menyimpan ekoran ketiadaan lebihan pendapatan. 

“Jika dibiarkan, ia amat berbahaya kerana golongan terbabit berisiko tinggi terjerumus dalam risiko keberhutangan yang kronik,” katanya.

 Sehubungan itu, Siti Nurain berkata, semua pemegang taruh di negara ini harus memainkan peranan membantu memberi lebih pendedahan dan pemahaman pengurusan kewangan terhadap generasi muda. 

Beliau berkata, literasi yang tinggi membolehkan mereka menguruskan kewangan dengan baik, sekali gus meningkatkan lagi kualiti hidup serta indeks kebahagiaan dalam jangka panjang.

 Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim pula berkata, golongan muda perlu mengambil inisiatif menguasai pengurusan kewangan yang berhemah. 

Beliau berkata, beban hutang disebabkan pengurusan kewangan yang lemah akan memberi kesan buruk terhadap kehidupan mereka dalam jangka panjang. 

“Mereka berisiko terjerumus dalam situasi muflis. 

“Tekanan akibat beban hutang juga boleh menjejaskan keharmonian keluarga,” katanya.


No comments:

Post a Comment