Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu mengambil inisiatif menyediakan ruang berniaga khas buat pekebun durian di pasar-pasar tani seluruh negeri ini bagi membantu mengurangkan lambakan raja buah tersebut yang sedang berlaku sekarang.
Pengarah FAMA Negeri Terengganu, Muhamad Fadlee Hassan berkata, ruang khas berniaga durian itu dibuka di 11 pasar tani di seluruh negeri ini sehinggalah berakhirnya musim buah tersebut pada bulan depan.
“Dua hingga tiga peniaga durian akan berniaga di setiap pasar tani itu bagi satu-satu sesi sehari.
“Setiap mereka akan memasarkan kira-kira tiga metrik tan durian dengan nilai jualan keseluruhan setiap hari dianggarkan RM25,000,” katanya ketika ditemui Pasar Tani Hiliran di sini hari ini.
Muhamad Fadlee berkata, durian kampung dijual pada harga semurah RM5 sekilogram manakala jenis premium seperti Musang King pula RM25 bagi gred A dan RM15 (gred B).
Beliau berkata, durian dipasarkan bukan sahaja dari Terengganu malah Pahang, Johor dan Negeri Sembilan.
“Inisiatif ini bertujuan membantu pekebun menjual secara terus kepada pengguna bagi mengurangkan lambakan sedang berlaku pada masa ini.
“Ia juga membolehkan pengguna membeli durian berkualiti pada harga lebih rendah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment