Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KEMAMAN – Kematian haiwan liar semakin membimbangkan dengan 2,361 kes telah direkodkan dalam tempoh lima tahun sejak 2020 termasuk melibatkan seekor anak gajah di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Perak kelmarin.
Menteri Alam Sekitar dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia turut melibatkan lapan ekor gajah dan lima harimau belang yang diancam kepupusan sepanjang tempoh tersebut.
“Lima negeri yang merekodkan kematian haiwan liar akibat kemalangan ialah Pahang dengan 765 kes, Perak (478), Kelantan (224), Terengganu (201) dan Negeri Sembilan (187).
“Lapan ekor gajah telah mati dilanggar dalam tempoh tersebut iaitu seekor pada 2020, dua lagi masing-masing pada 2021 dan 2024 serta tiga ekor sehingga semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui selepas memantau Operasi Gerak Kenderaan Bermotor anjuran Jabatan Alam Sekitar di Jakar di sini semalam.
Nik Nazmi berkata, kerajaan mengambil serius mengenai kematian tiga ekor gajah dalam tempoh kurang lima bulan.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan akan menambah kawasan santuari gajah bagi mengurangkan risiko haiwan mamalia terbabit keluar dari habitatnya sehingga menyebabkan kematian akibat kemalangan.
“Santuari tersebut menyediakan kawasan semula jadi yang menyediakan sumber makanan mencukupi agar gajah tidak keluar dari habitatnya.
“Kebiasaannya haiwan liar keluar jika habitatnya berkurangan atau terpisah oleh jalan, landasan keretapi dan ladang serta tidak cukup makanan,” katanya.
Nik Nazmi berkata, kerajaan juga telah menambah peruntukan Dana Pemindahan Fiskal Ekologi kepada RM250 juta setahun bagi meningkatkan kawasan hutan simpan di negeri-negeri yang menjadi habitat haiwan liar.
Beliau berkata, selain itu, laluan haiwan dan papan tanda bercahaya juga akan ditambah di lokasi berisiko bagi peringatan terhadap pengguna jalan raya.
Semalam Kosmo! melaporkan seekor anak gajah berusia lima tahun mati dilanggar sebuah lori membawa muatan ayam di JRTB Gerik-Jeli.
Insiden pukul 2 pagi itu meruntun hati netizen apabila ibu gajah terbabit cuba ‘menolak’ lori terbabit menyelamatkan anaknya yang terperosok di bawah kenderaan tersebut.

No comments:
Post a Comment