KUALA TERENGGANU – Seorang penjawat awam direman lima hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah RM3,000 sebagai balasan mendaftarkan pusat jagaan milik sebuah syarikat pada dua tahun lalu.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 30-an itu dibenarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Sumber berkata, suspek disyaki melakukan perbuatan demikian antara Julai hingga September 2023. “Suspek disyaki menerima suapan terbabit menerusi transaksi pindahan ke akaun bank miliknya.
“Ia dipercayai sebagai dorongan untuk memastikan kelulusan pendaftaran pusat jagaan milik sebuah syarikat,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid berkata, suspek ditahan sewaktu memberi keterangan pada pukul 12 tengah hari kelmarin.
“Kita akan memanggil beberapa buah pusat jagaan lain dalam masa terdekat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.
No comments:
Post a Comment