Translate

Monday, January 12, 2026

Tidak hirau ombak besar

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Orang ramai tidak menghirau amaran ombak besar dan angin kencang, sebaliknya tetap mengunjungi pantai-pantai peranginan di ne­geri ini ketika musim tengkujuh sekarang ini. 

Malah, kes dua beradik lemas di Pantai Sura Tengah, Dungun minggu lalu tidak dijadikan iktibar oleh mereka. 

Tinjauan di Pantai Pandak, Chendering di sini mendapati pengunjung masih mandi-manda walaupun ombak besar dan angin kuat melanda terutama pada waktu petang. 

Anak-anak kecil pula dibiarkan bermain di gigi air tanpa pengawasan orang dewasa. Situasi itu membuatkan  Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin kurang senang.

Kebimbangan beliau ada asasnya kerana sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, terdapat 74 individu dilaporkan lemas di seluruh Terengganu terutamanya ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) atau tengkujuh.

Menurut Mohd. Khairi, masih ada individu memandang ringan ancaman pantai ketika tengkujuh dan apa yang lebih mengecewakan apabila perbuatan itu bukan sahaja dilakukan pelancong luar, malah penduduk tempatan sendiri. 

“Banyak kali amaran dan larangan diberi supaya menjauhi serta jangan beriadah di air ketika musim tengkujuh tetapi masih ramai yang degil. 

“Tengkujuh mengakibatkan ombak besar yang membahayakan keselamatan pengunjung pantai boleh datang pada bila-bila masa,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 

Menurut Mohd. Khairi, bukan sahaja mandi atau menaiki bot kecil, malah berkelah di tepi pantai juga berbahaya kerana jangkauan ombak besar menghempas pantai sepanjang musim tengkujuh ini tidak terduga. 

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan anggota di ibu pejabat polis daerah agar memantau secara berkala pantai peranginan di seluruh negeri ini. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif menyebarkan informasi larangan melakukan aktiviti air di negeri ini sepanjang musim tengkujuh.

 “Semua hotel dan resort yang terletak berhampiran pesisir pantai misalnya telah diarahkan untuk menayangkan video pendek bahaya pantai pada musim tengkujuh sebagai kesedaran kepada pengunjung.

“Mereka boleh melakukan pelbagai aktiviti lain lagi sewaktu melancong ke Terengganu sepanjang tempoh tengkujuh ini selain mandi pantai,” katanya. 

Razali juga yakin pihak berkuasa tempatan juga telah memasang bendera merah di pantai-pantai peranginan negeri ini sebagai amaran kepada pengunjung. 

Pada 2 Januari lalu, Kosmo! melaporkan melaporkan dua beradik iaitu Nor Baizura Shafie, 39, dan Mohd. Fazir, 37, maut akibat lemas ketika mandi di Pantai Sura Tengah.

No comments:

Post a Comment