KUALA TERENGGANU – Hakisan teruk disebabkan fenomena air pasang besar yang berlaku berhampiran Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini pada musim tengkujuh lalu akan mula dibaiki pada minggu depan.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Osman Abdullah berkata, projek pembaikan hakisan yang memusnahkan sebahagian tebing muara Sungai Terengganu itu menelan belanja kira-kira RM1 juta.
“Persediaan jentera dan penghantaran bongkah batu dan pasir sudah dimulakan. Kerja-kerja pembaikan dijangka dimulakan minggu depan.
“Ia dijangka siap sepenuhnya pada awal bulan Ogos depan,” katanya di sini semalam.
Osman berkata, masalah hakisan disebabkan fenomena air pasang besar dan ombak kuat pada musim tengkujuh terbabit telah menjejaskan kira-kira 80 meter tebing muara Sungai Terengganu berkenaan.
Begitupun, beliau memberi jaminan fenomena alam terbabit tidak menjejaskan langsung struktur Jambatan Angkat Kuala Terengganu berhampiran.
“Ia kali kedua kawasan sama mengalami masalah hakisan disebabkan fenomena ombak besar dan air pasang besar dalam tempoh dua tahun.
“Sewaktu pertama kali berlaku pada tahun 2023, kerosakan telah diperbaiki melibatkan kos RM50,000,” katanya.

No comments:
Post a Comment