Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Seorang pesara mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM109,500 akibat terperdaya skim pelaburan berkonsepkan Islam yang dikaitkan dengan suami selebriti bergelar Datuk Seri.
Lelaki berusia 58 tahun yang melabur menggunakan wang simpanan persaraannya sebagai pekerja pelantar minyak dengan mengambil pakej RM150,000 yang menjanjikan keuntungan 18 peratus setahun dalam tempoh tiga tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pesara tersebut telah diperkenalkan dengan skim pelaburan Islam oleh seorang kenalannya pada 29 Januari 2023.
“Mangsa yang berminat kemudian bersetuju untuk mendengar penerangan daripada ejen pemasaran skim pelaburan tersebut secara dalam talian melalui aplikasi Zoom Meeting.
“Penerangan skim pelaburan itu didakwa diberikan oleh suami selebriti berpangkat Datuk Seri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Azli berkata, mangsa kemudian bersetuju untuk melabur dalam pakej RM150,000 dengan pembayaran penuh dibuat kepada syarikat pelaburan terbabit pada pukul 10.58 pagi, 29 Januari 2023.
"Berdasarkan perjanjian, keuntungan akan dibayar sebanyak RM6,700 bagi setiap tiga bulan sepanjang tempoh tiga tahun berkenaan.
"[ada mulanya mangsa menerima keuntungan awal seperti dijanjikan sebanyak RM40,500 secara berperingkat.
“Begitupun, pembayaran keuntungan itu dikatakan terhenti bermula pada 29 Oktober tahun lalu menyebabkan mangsa berasa tertipu,” katanya.
Mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 11.14 pagi kelmarin.
Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment