Translate

Wednesday, January 21, 2026

‘Teroka sumber baharu minyak, gas’

 

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan kerajaan negeri agar meneroka sumber baharu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap minyak dan gas yang semakin terhad. 

Baginda bertitah, minyak dan gas telah menyumbang sebahagian besar pendapatan Terengganu dan kebergantungan berterusan terhadap sumber itu boleh memberi risiko terhadap kestabilan ekonomi negeri.

 “Wajar bagi kerajaan negeri untuk meneroka dan membangunkan sumber-sumber baharu yang lestari. Selaras dengan perubahan global yang beralih kepada tenaga lebih bersih dan mampan,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di sini semalam. 

Sultan Mizan bertitah, kerajaan negeri Terengganu telah merangka Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Terengganu (NIT) sebagai perancangan jangka panjang menjana pendapatan baharu negeri ini. 

Baginda bertitah, antara sektor yang diberi tumpuan adalah pelancongan serta sumber galian lain seperti silika, unsur nadir bumi bukan radioaktif (NREE) dan bauksit. 

“Beta menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana meneroka potensi besar dalam sektor tenaga boleh diperbaharui terutama industri solar. 

“Setakat Disember 2024, Terengganu memiliki kapasiti solar melebihi 333 megawatt peak (MWp) dengan pelaburan diterima mencecah RM1 bilion,” titah baginda. 

Sultan Mizan bertitah, kerajaan negeri Terengganu perlu terus proaktif mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan di peringkat global bagi memperluas lagi industri teknologi hijau tersebut.

 “Pembangunan infrastruktur mampan dan pemacu inovasi dalam penyelesaian tenaga bersih perlu diteruskan bagi memastikan negeri ini kekal berada di hadapan dalam memperkasa industri tenaga hijau untuk masa depan,” titah baginda. 

Dalam perkembangan sama, Sultan Mizan menitahkan Kerajaan Negeri Terengganu agar mengeratkan jalinan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan. 

Baginda bertitah, ia bagi memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif pembangunan yang lebih berkesan.

No comments:

Post a Comment