Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Warga emas termasuk golongan pesara dikenal pasti sebagai mangsa utama kepada kes penipuan pelaburan tidak wujud membabitkan skim mata wang kripto sejak kebelakangan ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebahagian besar kerugian yang mencecah RM123.64 juta itu disebabkan penipuan pelaburan mata wang kripto palsu.
“Kita sendiri tidak tahu mata wang kripto. Mudah sangat kita beri duit berjuta kepada sindiket untuk melabur bagi pihak kita, walhal ia sebenarnya tidak dilaburkan.
“Mata wang kripto dipapar pada skrin berlipat ganda keuntungan. Labur RM4 juta, boleh dapat RM126 juta, langsung tidak masuk akal tetapi ada yang percaya,” katanya selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini semalam.
Ramli berkata, tambah membimbangkan sebahagian besar mangsa pelaburan mata wang kripto tidak wujud ini merupakan golongan pesara yang kerugian jutaan ringgit.
Beliau berkata, salah satu kes penipuan mata wang kripto tidak wujud pernah diterima melibatkan seorang warga emas berusia 74 tahun di Johor yang rugi sehingga puluhan juta ringgit.
“Warga emas jangan terlampau teruja melabur dalam mata wang kripto. Kadang-kadang kita guna simpanan dan meminjam kerana tertarik kononnya mendatangkan keuntungan banyak.
“Semua ini penipuan, ia bukan sahaja menyebabkan kerugian, malah menyebabkan kecelaruan mental sepanjang hayat terutama kepada mangsa warga emas,” katanya.
Sebelum ini, JSJK Bukit Aman memaklumkan jumlah kerugian akibat kes jenayah komersial sepanjang tahun lalu adalah melebihi RM3.1 bilion.
Dalam tempoh yang sama juga, sebanyak 41,701 kertas siasatan telah dibuka.
Menurut Ramli, jenayah komersial paling banyak direkodkan bermula awal Januari sehingga hujung Disember tahun lalu adalah jenayah penipuan dengan 37,240 kes membabitkan kerugian keseluruhan sebanyak RM2.45 bilion.
Katanya, kes membabitkan jenayah pecah amanah mencatatkan sebanyak 1,448 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM546.39 juta.

No comments:
Post a Comment