Translate

Monday, January 19, 2026

Pengusaha bot candat sotong kena cakna

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) mengingatkan pengusaha bot agar sentiasa mementingkan tahap keselamatan sewaktu membawa kumpulan pemancing pada musim mencandat sotong yang sudah bermula pada awal bulan ini hingga Ogos depan. 

Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia (APMM), Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, pengusaha terlibat perlu memastikan bot mencandat sotong mereka dilengkapi peralatan seperti jaket keselamatan dan alat komunikasi bersesuaian sebelum turun ke laut. 

“Lapor pergerakan keluar masuk (ke laut untuk mencandat sotong) kepada APMM agar memudahkan usaha pengesanan dan menghantaran bantuan sekiranya berlaku apa-apa. 

“Sebelum ini, kita mendapati banyak kes (bot mencandat sotong) keluar tanpa mengambil kira keperluan (keselamatan) sepatutnya,” katanya di Pejabat Maritim Terengganu di sini semalam. 

Saiful Lizan berkata, APMM juga pernah menerima kes permohonan bantuan menunda bot mencandat sotong yang kehabisan bahan api akibat terlalu leka menangkap hidupan laut tersebut di perairan negeri ini. 

Beliau berkata, ia tidak sepatutnya berlaku kerana pengusaha bot mencandat sotong bertanggungjawab memastikan bahan api mencukupi selain tindakan itu menganggu tugas hakiki APMM.

 Terdahulu beliau menyaksikan majlis serah tugas Pengarah Maritim Terengganu antara Kepten Maritim Hamiludin Che Awang dan Laksamana Pertama Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid. Hamiludin sebelum itu merupakan Ketua Kluster Pengajian dan Pembangunan Operasi Maritim Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah dilantik Pengarah Maritim Terengganu berkuatkuasa semalam. 

Beliau menggantikan Laksamana Pertama Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Maritim Sabah dan Labuan. 

Kata Saiful Lizan, beliau menaruh keyakinan terhadap kewibawaan Hamiludin, 51, untuk meneruskan legasi cemerlang Maritim Terengganu yang ditinggalkan Mohd. Khairulanuar.

No comments:

Post a Comment