Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA NERUS – Seorang penduduk Kampung Pantai, Batu Rakit di sini hanya mampu mengalirkan air mata selepas rumah pusaka keluarga yang berusia lebih 80 tahun musnah akibat hakisan pantai pada November tahun lalu.
Zamri Sulong, 43, berkata, rumah pusaka yang dibina datuknya pada tahun 1940-an sudah tidak mampu menahan ombak besar sebelum roboh dalam sekelip mata.
“Pada mulanya, tebing rumah ini terhakis sedikit demi sedikit ekoran ombak besar sejak September lalu. Hakisan kemudian merebak ke tapak rumah yang roboh sepenuhnya hujung tahun lalu,” katanya.
Zamri sekeluarga bernasib baik kerana mereka sempat berpindah dengan menyewa di kawasan berhampiran.
“Memang sedih tanah pusaka lenyap jadi laut. Tiada lagi rumah yang menjadi saksi suka duka keluarga besar kami,” katanya.
Manan Ali, 72, pula berkata, tanah miliknya yang pernah dibina kedai makan dan bangsal untuk menjemur sotong dan ikan sejak tahun 1986 turut ‘hanyut’ ke laut tahun lalu.
“Ketika itu (1986) kedudukannya lebih 100 meter dari pantai. Siapa sangka sekarang sudah ditelan laut menyebabkan saya kerugian lebih RM20,000 tidak termasuk nilai semasa hartanah,” ujarnya.
Manan berkata, disebabkan itu, dia terpaksa membina bangsal menjemur sotong dan ikan di rumahnya yang terletak agak jauh dari pesisir pantai.

No comments:
Post a Comment