Translate

Tuesday, January 20, 2026

Harumanis tak dapat, duit pula lesap


KUALA TERENGGANU – Seorang guru wanita bukan sahaja kempunan buah mangga harumanis, malah wang simpanan Tabung Hajinya berjumlah RM9,998 juga lesap dikebas scammer. 

Mangsa berusia 46 tahun itu hanya menyedari menjadi mangsa penipuan apabila menyemak akaun Tabung Hajinya pada Khamis lalu. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, guru terbabit berhajat untuk membeli mangga harumanis kegemarannya setelah melihat iklan jualan buah tersebut di media sosial pada Rabu lalu. 

“Mangsa kemudian menghubungi suspek yang menyamar penjual harumanis menerusi aplikasi WhatsApp. 

“Dia kemudian diminta untuk memuat turun aplikasi kononnya bagi tujuan tempahan buah berkenaan,” katanya. 

Azli berkata, guru terbabit yang tidak mencurigai apa-apa telah mengisi butiran peribadi menerusi aplikasi berkenaan sebelum diberi kod tindak balas cepat (QR). 

“Mangsa dihubungi suspek sebelum telefon bimbitnya tibatiba terpadam. Semakan kemudian mendapati wang Tabung Haji RM9,998 telah hilang,” katanya. 

Mangsa mengesyaki kehilangan simpanan Tabung Haji mempunyai kaitan dengan urusniaga mangga harumanis itu.

No comments:

Post a Comment