KUALA TERENGGANU – Hajat seorang pesara sebuah syarikat penerbitan akhbar untuk mengaut keuntungan lebih 21 kali ganda lebur apabila dia kerugian RM62,109 akibat diperdaya skim pelaburan tidak wujud.
Lelaki warga emas berusia 73 tahun tersebut yang menyedari tertipu itu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 1 tengah hari kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, mangsa menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) menawarkan pelaburan tidak wujud tersebut daripada nombor telefon tidak dikenali pada bulan lalu.
“Tawaran pelaburan itu amat menarik kononnya menjanjikan pulangan RM8,500 dalam tempoh cuma 48 jam.
“Suspek juga mendakwa keuntungan itu boleh diperoleh dengan hanya melabur RM400, membuatkan mangsa tertarik,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Azli berkata, pesara tersebut kemudiannya bukan sahaja membuat pelaburan asas, malah mengikut arahan suspek melakukan pembayaran tambahan kononnya sebagai upah pemprosesan pembayaran keuntungan.
Beliau berkata, lelaki warga emas terbabit membuat transaksi pemindahan wang sebanyak 18 kali ke dalam sembilan akaun bank berasingan yang diarahkan suspek.
“Mangsa hanya menyedari dirinya tertipu apabila keuntungan pelaburan dijanjikan tidak diterima.
“Dia kerugian keseluruhan RM62,109 yang merupakan wang simpanannya,” katanya.
Menurutnya, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment