Oleh MOHD AZLI ADLAN
HULU TERENGGANU – Seorang suami sayu melihat isterinya yang dulu cergas dan periang kini terlantar akibat penyakit sistemik lupus eritematosus (SLE) sejak setahun lalu.
Mohd. Aidil Firdaus Talib, 28, berkata, penyakit SLE yang dideritai isterinya, Nur Shahika Rashid, 28, semakin kronik sehingga merebak ke paru-parunya.
Kakitangan Syarikat Air Terengganu (Satu) yang bekerja sebagai operator pengeluaran Loji Air Sungai Tong, Setiu berkata, isterinya yang dulunya merupakan tukang jahit kini bergantung dengan bantuan mesin oksigen untuk bernafas.
“Pada mulanya isteri saya (Nur Shahika) mengadu kedua-dua tangannya lebam sewaktu sedang menjahit pakaian pelanggan pada bulan Februari tahun lalu.
“Selain itu, dia sering mengalami demam terutama pada waktu malam. Pada mulanya kami ingatkan ia gangguan mistik dan mendapatkan rawatan alternatif,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Pauh, Tanggol di sini semalam.
Mohd. Aidil berkata, begitupun penyakit isterinya terus melarat sehingga dirujuk ke Klinik Kesihatan Kuala Berang di sini dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Bapa kepada seorang anak perempuan berusia empat tahun tersebut berkata, pemeriksaan pakar HSNZ pada bulan Julai lalu mengesahkan Nur Shahika menghidap SLE.
“Keadaan isteri saya semakin kronik apabila sudah merebak ke paru-paru sehingga perlu bernafas dengan bantuan mesin oksigen selama 24 jam sejak tiga bulan lalu.
“Mesin oksigen tersebut disewa dengan kos RM450 sebulan. Selain itu, isteri saya memerlukan lampin pakai buang dan ubat-ubatan,” katanya.
Mohd. Aidil berkata, isterinya juga perlu dibawa ke HSNZ untuk menjalani rawatan berkala setiap dua minggu.
Sehubungan itu, dia merayu bantuan orang ramai kerana kos perubatan isterinya kini mencecah RM1,500 sebulan.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank Mohd. Aidil bernombor 11301000472464 (RHB) atau menghubunginya di talian 011-2894 0450.

No comments:
Post a Comment