Translate

Monday, January 26, 2026

Pengarah, akauntan kempunan ‘tender’ kerajaan palsu

 KUALA TERENGGANU – Seorang pengarah syarikat dan seorang akauntan terpaksa berputih mata selepas menjadi mangsa sindiket penipuan berkaitan tender kerajaan palsu melibatkan kerugian RM86,700. 

Mangsa pertama yang juga pengarah syarikat itu diperdaya sebanyak RM72,300, manakala mangsa kedua pula menjadi mangsa kedua melibatkan kerugian RM14,400. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa pertama berusia 55 tahun telah dihubungi suspek yang mengaku kononnya wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Putrajaya pada 6 Mac lalu. 

“Suspek menawarkan mangsa projek kononnya membekal ‘power station’ (stesen kuasa elektrik mudah alih) untuk JKM Besut. 

“Mangsa kemudian telah diarahkan untuk membuat pembayaran RM72,300 kononnya sebagai pembelian awal peralatan pembekalan terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam. 

Azli berkata, pengarah syarikat itu kemudiannya curiga dengan tawaran pembekalan sebelum membuat semakan dengan agensi terlibat. 

Beliau berkata, mangsa akhirnya menyedari tender pembekalan tersebut sebenarnya tidak wujud. 

“Kes kedua pula melibatkan seorang akauntan berusia 43 tahun yang ditawarkan projek pembekalan 80 kotak kurma kononnya untuk majlis berbuka puasa dijadual pada hari ini (semalam). 

“Tender itu ditawarkan oleh seorang suspek yang mengaku kononnya pegawai tentera berpangkat mejar pada Selasa lalu,” katanya. 

Ujarnya, mangsa telah membuat pembayaran RM14,400 seperti diarahkan suspek sebelum menyedari tertipu. 

“Dua mangsa itu kemudia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini kelmarin. 

“Kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment