KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pemandu lori untuk memiliki sebuah motosikal Yamaha RXZ Bosh bukan sahaja tidak kesampaian, malah dia kerugian RM11,900 pada Isnin lalu.
Lelaki berusia 43 tahun tersebut membuat laporan berhubung kes tersebut di Balai Polis Telemong, Hulu Terengganu di sini, pada pukul 5.21 petang, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pemandu lori tertarik untuk membeli motosikal tersebut apabila melihat iklan penjualannya di laman Facebook di rumahnya di Kampung Buluh di sini pada pukul pukul 1.30 pagi, Ahad lalu.
“Mangsa kemudiannya menghubungi individu yang mendakwa mahu menjual motosikal Yamaha RXZ Bosh berwarna hitam keluaran 1995 berkenaan.
“Hasil perbincangan dia bersetuju untuk membeli motosikal itu dengan harga RM11,900,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Azli berkata, pemandu lori tersebut kemudiannya ke Kampung Batu Hampar, Manir di sini, untuk melihat sendiri motosikal terbabit pada, pukul 2.35 petang, Isnin lalu.
Beliau berkata, lelaki itu yang berpuas hati telah membuat pembayaran penuh pembelian motosikal tersebut secara pindahan bank.
“Begitupun dia terkejut apabila pemilik sebenar motosikal Yamaha RXZ berkenaan mendakwa tidak menerima sebarang bayaran dibuat.
“Pemilik motosikal itu juga menafikan nombor telefon dan akaun bank diberi individu berurusan dengan mangsa adalah miliknya,” katanya.
Azli berkata, pemandu lori menyedari dirinya tertipu dan membuat laporan polis.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment