KUALA TERENGGANU – Tatkala insan lain ceria bersama keluarga tercinta meraikan Aidilfitri, seramai 43 pegawai dan anggota Maritim Malaysia (APMM) berkorban mengawal perairan Terengganu pada pagi 1 Syawal.
Pegawai Pemerintah Kapal Maritim (KM) Redang, Mohd. Hafizuddin Mohd. Jalal berkata, beliau dan 15 anak kapalnya merupakan sebahagian warga APMM yang bertugas dalam Ops Khas Pagar Laut menjaga perairan negara daripada dicerobohi pada musim perayaan ini.
“Kami ditugaskan mengawal perairan Terengganu sehingga 180 batu nautika (333.36 kilometer) ke sempadan perairan antarabangsa sehingga 3 Syawal (kelmarin).
“Tumpuan kami memastikan perairan negeri ini tidak diceroboh nelayan Vietnam selain mengekang sebarang aktiviti penyeludupan dan mencuri kabel elektronik pelantar minyak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.
Mohd. Hafizuddin berkata, beliau dan anak kapalnya sudah ‘alah bisa tegal biasa’ terpaksa berjauhan daripada ahli keluarga pada hari mulia tersebut.
Beliau yang sudah 13 tahun tidak beraya bersama keluarga berkata, mereka memahami amanah yang digalas untuk mempertahankan tanah air mengatasi segalanya sebaik terpilih untuk menyarung seragam APMM.
“Saya akui sebahagian ahli keluarga kami terutama anak-anak bersedih merayakan Aidilfitri tanpa kami. Saya harap mereka faham dan merelakan.
“Bagi anak kapal pula, kami bagaikan satu keluarga besar. Biarpun bertugas di tengah lautan, suasana malam dan pagi raya tetap disemarakkan,” katanya.
Mohd. Hafizuddin berkata, mereka biasanya akan melaungkan takbir raya bersama-sama pada malam dan pagi raya.
Katanya, beliau dan anak kapal juga akan menikmati hidangan tradisional pada pagi raya bagi mengurangkan kerinduan kepada ahli keluarga.
Sementara itu, seorang lagi pegawai APMM, Azman Setapa yang bertugas sebagai cef KM Redang berkata, beliau ditugaskan untuk menyediakan juadah pada pagi 1 Syawal.
“Biarpun serba ringkas, kami tetap akan menikmati hidangan raya seperti rendang, nasi impit, nasi beriani dan lontong bersama-sama sebagai simbolik mensyukuri ketibaan Aidilfitri,” tambahnya.

No comments:
Post a Comment