Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Rakan Kebun yang diperkenalkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) telah berjaya menjana pendapatan mencecah RM20,000 buat sebahagian komuniti luar bandar yang menyertai dalam program itu.
Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd. Hanafiah Man berkata, program Rakan Kebun yang diperkenal tiga tahun lalu menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
Katanya, setakat ini lebih 200 komuniti luar bandar di seluruh negara terlibat dalam program Rakan Kebun termasuk Kampung Pulau Manis di sini.
“Kami sasar untuk melibatkan tambahan 50 komuniti lagi dalam projek ini sepanjang tahun ini,” katanya pada program Desa Cergas di Kampung Pulau Manis di sini kelmarin.
Menurutnya, pengarah Kemas negeri-negeri telah diarahkan untuk membantu mengembangkan prospek kebun peserta program yang dilihat berdaya maju.
Katanya, program Rakan Kebun mendapat kerjasama Institut Piawaian Malaysia (SIRIM) yang menawarkan teknologi ekosistem pertanian terkini.
“Program ini melibatkan penyertaan antara seorang sehingga 15 orang bagi setiap komuniti.
“Mereka tanam sayur yang mendapat permintaan tinggi seperti salad coral, sawi putih, kangkung dan terung secara fertigasi atau hidroponik,” katanya.
Katanya, projek tersebut tidak memerlukan tanah yang luas dan kos permulaan pula antara RM10,000 dan RM15,000 bagi setiap projek untuk benih sayur dan set pertanian.

No comments:
Post a Comment