Translate

Saturday, January 17, 2026

Pantai di Terengganu ‘ditelan’ laut

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Dianggarkan di antara dua hingga 20 meter kawasan pesisir pantai di Terengganu akan ‘hilang’ setiap kali ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) akibat fenomena hakisan pantai, sekali gus berubah menjadi laut. 

Pada tahun 1970-an, hakisan pantai masih terkawal, cuma di antara dua hingga empat meter terhakis setiap kali MTL. 

Fenomena itu menyebabkan penduduk setempat bukan sahaja kehilangan tapak rumah, malah tapak premis makan, resort dan kemudahan nelayan kini berada dalam laut.

 Timbalan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Madya Dr. Effi Helmy Ariffin berkata, puluhan hektar tanah yang terletak di pesisir pantai negeri ini dianggarkan telah lenyap disebabkan fenomena itu. 

Katanya, biarpun tiada kajian khusus anggaran sebenar keseluruhan tanah negeri ini yang telah ditenggelami laut, kira-kira 30 kawasan pesisir pantai terjejas dengan hakisan saban tahun. 

“Zon kritikal hakisan pantai di Terengganu melibatkan Pantai Tok Jembal, Kampung Mengabang Telipot, Kampung Pengkalan Maras dan Batu Rakit di sini. 

“Dianggarkan 66 kilometer (km) garis pantai pesisir pantai Terengganu telah terhakis,” katanya kepada Kosmo!. Menurutnya, Pantai Teluk Lipat, Dungun pula telah terhakis melebihi empat meter, manakala lebar Pantai Rusila, Marang hilang hampir 100 meter sejak 30 tahun lalu.

 Katanya, dianggarkan di antara 10 meter hingga 20 meter Pantai Kuala Nerus pula telah terhakis pada setiap kali musim tengkujuh. 

“Begitupun, hakisan pantai telah berjaya diperlahankan sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan pembinaan pemecah ombak,” katanya. 

Effi Helmy berkata, pesisir pantai sangat panjang iaitu 244km, menjadikan Terengganu amat terbuka dengan ancaman hakisan pantai. 

Katanya, ketinggian ombak Laut China Selatan yang menghempas Pantai Timur terutama Terengganu pada musim tengkujuh didapati telah meningkat sekurang-kurangnya 1.5 meter berbanding lebih 10 tahun lalu. 

“Fenomena pusuan ombak iaitu pertembungan antara ombak dengan air pasang besar juga meningkatkan risiko hakisan pantai. 

“Pertembungan itu memberi satu tenaga kinetik luar biasa yang mampu menghakis permukaan pantai dengan lebih banyak dan pantas,” katanya. 

Menurutnya, lambakan pasir tersumbat di kebanyakan muara lembangan sungai utama sehingga membentuk pulau jadian sejak puluhan tahun lalu juga faktor hakisan pantai. 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terenggganu, Datuk Hanafiah Mat pula berkata, inisiatif pemulihan hakisan telah dilakukan di beberapa pantai yang paling teruk terjejas.

 Ia melibatkan kawasan di Pantai Teluk Lipat dan Pantai Paka, Dungun; Pantai Rusila, Marang dan Pantai Tok Jembal dan Maras, Kuala Nerus.

 “Sebahagian projek pemulihan hakisan telah siap sepenuhnya, manakala selebihnya sedang berjalan dan dalam proses kelulusan. Antaranya projek membaiki hakisan di Pantai Teluk Lipat melibatkan kos RM57 juta. 

“Selain itu, projek Struktur pemecah ombak dan penyuburan pantai melibatkan kos RM150 juta akan dilakukan di Pantai Rusila sepanjang 6km, manakala RM6.17 juta bagi pemulihan hakisan di Kuala Nerus,” katanya.

No comments:

Post a Comment