Oleh MOHD AZLI ADLAN
SETIU – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengeluarkan arahan yang melarang pelajarnya daripada melakukan sebarang aktiviti riadah air berkuat kuasa serta merta susulan dua kejadian lemas yang meragut nyawa dua mahasiswa universiti itu dalam tempoh lima hari.
Berdasarkan berkongsian Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA, larangan itu melibatkan semua aktiviti air sama ada sungai, air terjun dan pantai.
“Adalah dimaklumkan bahawa semua mahasiswa dan mahasiswi UniSZA dilarang sama sekali mengadakan sebarang aktiviti air berkuat kuasa serta-merta.
“Larangan ini adalah atas faktor keselamatan dan akan berkuat kuasa sehingga notis rasmi selanjutnya dikeluarkan oleh pihak universiti,” kata kenyataan yang dikeluarkan MPP UniSZA semalam.
Sehubungan itu, pihak MPP meminta semua mahasiswa untuk mematuhi arahan berkenaan demi kesejahteraan bersama.
Terdahulu, dua kejadian lemas melibatkan pelajar UniSZA mencetuskan kebimbangan bukan sahaja dalam kalangan pengurusan universiti, namun turut dirasai ahli keluarga pelajar berkenaan.
Kejadian pertama berlaku pada 12 Mei yang mengorbankan Wan Ahmad Irfan Wan Abdullah Thani, 24, yang merupakan pelajar tahun tiga Sarjan Muda Undang-Undang. Mangsa dilaporkan lemas ketika berkelah bersama rakanrakan di kawasan air terjun Lata Changkah dekat sini sempena cuti Hari Wesak.
Kejadian kedua pula berlaku kelmarin melibatkan pelajar tahun pertama jurusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam), Abed Mifzal Azman, 22, yang lemas dalam insiden kepala air sewaktu berkelah di Lata Payung di sini pada kelmarin.
Lata Cangkah yang terletak di Sungai Setiu dan Lata Payung di Sungai Payung Anak dengan jarak kira-kira 49 kilometer antara satu sama lain dikenal pasti antara kawasan perkelahan terdedah dengan fenomena kepala air di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, pemantauan mendapati kawasan air terjun dan lata di sekitar daerah ini tidak selamat untuk aktiviti riadah disebabkan faktor cuaca buat masa ini.
“Cuaca sekarang yang tidak menentu telah meningkatkan risiko fenomena kepala air. “Saya menasihatkan orang ramai agar menangguhkan sebentar niat untuk beriadah di kawasan perkelahan sekitar daerah ini buat sementara waktu,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Sementara itu, seorang pelajar UniSZA yang mahu dikenali sebagai Sha mendakwa, berkelah di kawasan lata yang terkenal dengan keindahan di Setiu merupakan antara aktiviti kegemaran kebanyakan pelajar universiti pada hujung minggu dan cuti umum.
“Jarak kawasan perkelahan itu dengan kampus UniSZA Gong Badak, Kuala Nerus juga tidak berapa jauh iaitu lebih kurang 50 hingga 60 kilometer.
“Kami terutama pelajar luar yang bukan berasal dari Terengganu teruja untuk menerokai lata terbabit yang diketahui menerusi media sosial dan bual mulut rakan-rakan sekampus,” katanya.

No comments:
Post a Comment