Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan SITI A’ISYAH SUKAIMI
PETALING JAYA – Kira-kira 5.2 juta murid sekolah rendah dan menengah memulakan sesi persekolahan 2026/2027 bermula semalam dan hari ini di seluruh negara.
Hari ini, sesi persekolahan melibatkan Kumpulan B di semua sekolah di 11 negeri bermula, manakala Kumpulan A di Kedah, Terengganu dan Kelantan telah berjalan sejak semalam.
Semalam, Kedah mencatatkan seramai 345,259 murid untuk sesi persekolahan kali ini, Kelantan dengan 333,206 murid, manakala Terengganu seramai 256,822 murid. Kumpulan B yang bermula hari ini melibatkan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Di Alor Setar, Pengarah Pendidikan Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, seramai 29,004 murid tahun satu daripada keseluruhan 345,259 pelajar memulakan sesi persekolahan semalam selain sebanyak 753 sekolah beroperasi melibatkan 548 sekolah rendah dan 205 sekolah menengah.
“Ia melibatkan 598 sekolah kerajaan dan 155 sekolah bantuan kerajaan dengan 689 merupakan sekolah sesi pagi, 63 sekolah dua sesi serta sebuah sekolah sesi petang.
“Semua sekolah beroperasi dengan baik setakat ini walaupun terdapat sekolah yang mempunyai kurang daripada 10 pelajar.
Tahun ini, terdapat sebuah sekolah baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baharu Sungai Lalang di Sungai Petani,” katanya di Kolej Sultan Abdul Hamid, semalam.
Katanya, pembukaan sesi persekolahan tersebut turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menempatkan pegawai sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di semua sekolah yang bertujuan menyelaras segala perkara berkaitan agenda keselamatan sekolah.
“Setiap sekolah akan mempunyai seorang pegawai bertujuan menyelaras segala perkara berkaitan agenda keselamatan sekolah dan ini menjadi agenda utama pendidikan bagi memastikan semua murid belajar dalam suasana selamat.
“Kita juga menerima garis panduan khususnya berkaitan murid yang tinggal di asrama bagi memastikan keselamatan mereka terjamin dan setiap sekolah akan mendapat khidmat nasihat daripada PPS, terutama ketika berlakunya jenayah,” tambahnya.
Di Tumpat, Timbalan Ketua Setiausaha KPM (Perancangan dan Pembangunan), Datuk Wan Hashim Wan Rahim berkata, KPM akan memperluas Program Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) dalam usaha menangani keciciran dalam kalangan pelajar dan murid khususnya masyarakat luar bandar di Kelantan.
“Program ini sudah dilaksana di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru di Tumpat dengan menjadikan pembelajaran di bawah satu bumbung daripada peringkat prasekolah hingga tingkatan lima termasuk pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
“SK Pulau Beluru sebelum ini merupakan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) yang dilaksana sejak tiga tahun lalu.
Daripada model K9, KPM menaik taraf sekolah itu kepada K11 kerana pembelajaran wajib sehingga tingkatan lima seperti Pindaan Akta Pendidikan 2025.
“Jika model K9, pendidikan hanya sehingga tingkatan tiga. Kita tidak mahu pelajar di sekolah tersebut perlu keluar ke sekolah lain selepas tingkatan tiga,” katanya selain menambah sebanyak 35 buah sekolah berada di bawah model K9 dan K11 di seluruh negara.

No comments:
Post a Comment