Translate

Tuesday, January 27, 2026

2.06 juta graduan 'underemployment'

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DI atas kertas, kadar pengangguran dalam kalangan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan masih berada tahap terkawal iaitu 3.2 peratus. 

Tahap kebolehpasaran siswazah juga nampak memberangsangkan sekurang-kurangnya 85 peratus bagi setiap IPT di seluruh negara. 

Begitupun, kita tidak boleh memejamkan mata dengan fakta, lebih 32 peratus graduan tempatan yang memasuki pasaran buruh itu memperoleh pekerjaan yang lebih rendah dan tidak sepadan dengan kelayakan akademik mereka. 

Berdasarkan Statistik Tenaga Buruh Tahunan 2024 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangannya kini mencecah kira-kira  2.06 juta orang. 

Realiti memiliki pekerjaan di bawah kelayakan ini bukan memberi kesan langsung terhadap siswazah itu dari segi prospek pengembangan kerjaya dan tangga gaji dalam jangka masa panjang, malah pembaziran sumber tenaga kerja berkemahiran tinggi terhadap negara. 

Ia terbukti apabila data DOSM menunjukkan 30.2 peratus tenaga kerja tergolong dalam kalangan berkemahiran tinggi, separuh mahir (56.5 peratus) dan berkemahiran rendah (13.3 peratus).

 Apakah puncanya? Tidak berkualitikah graduan tempatan untuk memasuki pasaran pekerja mahir, kursus di unversiti tidak sepadan dengan permintaan industri atau peluang kerja berkemahiran tinggi tidak berkembang? 

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Suriyani Muhamad berkata, fenomena ‘underemployment’ bukan sahaja berlaku di negara ini, malah di kebanyakan negara Asia Tenggara, Amerika Syarikat dan Britain. 

Katanya, cabaran utama graduan pada masa ini bukannya tiada pekerjaan, namun kurangnya kerjaya yang sepadan dengan kemahiran dan kelayakan mereka.

“Kita tidak boleh mengambil rumusan mudah dengan mengatakan masalah isu kebolehpasaran graduan ini berpunca daripada IPT. 

“Sebaliknya, senario sebenarnya ialah pertumbuhan sektor ekonomi bernilai tambah tinggi jauh lebih perlahan berbanding kadar pengembangan pendidikan tinggi tempatan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini. 

Suriyani menerangkan struktur pekerjaan domestik kini lebih tertumpu kepada aktiviti ekonomi bernilai tambah rendah seperti sektor runcit, perkhidmatan asas, logistik dan pentadbiran. 

Beliau berkata, sektor ekonomi berkenaan didapati berkembang lebih cepat berbanding aktiviti bernilai tambah tinggi seperti teknologi, penyelidikan, industri kreatif, dan ekonomi hijau.

 “Senario kekurangan pekerjaan berkemahiran tinggi menyebabkan lebihan graduan secara sistemik akan ‘turun kelas’ ke sektor separa mahir. 

“Ia bukan masalah kualiti graduan, namun berpunca daripada permintaan pasaran buruh sendiri,” katanya. 

Ujarnya, isu ini perlu diatasi secara bersepadu melibatkan semua pemegang taruh agar lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi diwujudkan. 

Katanya, IPT memainkan peranan melahirkan graduan bukan sahaja memiliki kelayakan akademik dan kemahiran insaniah, malah mempunyai kefahaman menyeluruh terhadap pasaran buruh dan keperluan industri serta literasi digital.

No comments:

Post a Comment