KUALA TERENGGANU – Produksi drama dan filem tempatan diseru mematuhi Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak tahun 2015.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na'im Mokhtar berkata, Jakim terus memainkan peranan proaktif membantu Kementerian Komunikasi mengambil tindakan terhadap mana-mana penerbitan yang melanggar garis panduan ditetapkan.
"Tanggungjawab Jakim mendidik dan mengeluarkan garis panduan untuk diikuti produksi (drama dan filem).
"Jakim sentiasa berhubungan dengan Kementerian Komunikasi kalau berlakunya perlanggaran garis panduan tersebut," katanya ketika ditemui selepas merasmikan penjenamaan semula Hotel The Grand Puteri di sini semalam.
Beliau mengulas rungutan orang ramai dengan penyiaran beberapa drama pada bulan Ramadan yang menayangkan adegan keterlaluan yang dianggap tidak sesuai dan sensitif dengan kesucian bulan puasa.
Mohd. Na'im berkata, tindakan awal telah diambil dengan memanggil penerbit drama Bidaah yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, masyarakat juga boleh membantu penguatkuasaan dengan membuat aduan rasmi terhadap drama atau filem yang bertentangan adab dan ajaran agama Islam kepada Kementerian Komunikasi.
"Pihak yang menghasilkan drama yang bertentangan, Jakim akan mengambil tanggungjawab menasihati. Kalau berlaku pelanggaran undang-undang, kita serah kepada pihak berkuasa," katanya.
No comments:
Post a Comment