Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Kejatuhan harga durian terutamanya musang kini pada musim ini merupakan antara yang terburuk dalam tempoh 10 tahun ekoran berlaku lambakan ekoran pengeluaran serentak terutama di Perak, Pahang, Melaka dan Johor.
Perkara itu diakui pemborong durian, Shamsudin Mat Adam yang mengatakan, disebabkan itu, penggemar raja buah termasuk jenis premium seperti musang king dan duri hitam (black thorn) dijangka boleh terus menikmatinya pada harga murah sehingga berakhirnya musim luruh pertengahan bulan depan.
Katanya, durian musang king gred B kini dijual pada harga RM12.90 sekilogram (kg) manakala duri hitam RM20 sekilogram, manakala jenis kampung dan kahwin pula semurah RM5 sekilogram.
Beliau yang berpengalaman sebagai pemborong durian selama 15 tahun berkata, berdasarkan maklum balas pemain industri, harga durian pada musim kali ini akan kekal rendah sehingga akhir musim.
“Berlaku lambakan durian ekoran pengeluaran serentak terutama di Perak, Pahang, Melaka dan Johor.
“Lagi pun kebanyakan pengeluaran durian pada musim ini tidak mencapai piawaian ditetapkan untuk dieksport ke luar negara,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Katanya, biarpun begitu hikmah di sebalik kejatuhan itu adalah orang ramai kini boleh menikmati durian bergred premium pada harga ‘mampu beli’.
“Durian musang king dan black thorn yang dulunya sebahagian orang cuma ‘mampu tengok’ kini sudah boleh dirasai keenakannya,” katanya.
Samsudin berkata, setiap hari, syarikat pemborongnya membawa masuk lebih 20 tan durian ke Terengganu untuk jualan.
Ujarnya, bekalan durian tersebut bukan sahaja untuk dijual di gerai-gerai miliknya, malah diagihkan kepada peniaga lain di seluruh negeri berkenaan.
“Alhamdulillah permintaan du rian sangat tinggi pada masa ini. Bekalan durian diperoleh dari Johor dan Pahang,” katanya.

No comments:
Post a Comment