Translate

Monday, March 30, 2026

Busker di Kuala Terengganu kena permit RM200 setahun

 

KUALA TERENGGANU – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memperkenalkan permit khas bernilai RM200 setahun kepada setiap busker atau seniman jalanan yang mahu bergiat di sekitar bandar raya ini dan Kuala Nerus. 

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif berkata, permit yang dikenakan kepada setiap busker yang aktif tersebut bertujuan untuk mengawal selia aktiviti yang semakin berkembang pesat di bandar raya ini sejak kebelakangan ini. 

Katanya, sebelum ini tiada peraturan jelas berhubung aktiviti busking di negeri ini seperti diamalkan di Kuala Lumpur. 

“Kami (MBKT) ambil inisiatif awal mengadakan libat urus untuk mendengar luahan, isu berbangkit dan cadangan penggiat aktiviti busking dan seniman jalanan terbabit.

 “Cadangan-cadangan tersebut akan disampaikan kepada kerajaan negeri (Terengganu) untuk membuat keputusan (pindaan Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan MBKT 2002 dan Kaedah-Kaedah Hiburan Negeri Terengganu 2003),” katanya selepas mengadakan libat urus dengan penggiat busking tempatan di sini semalam. 

Sebelum ini, hasrat segelintir busker yang ghairah untuk membuat persembahan di pusat belibelah Mayang Mall, di sini, seperti yang dipamerkan di Sogo Kuala Lumpur terhalang ekoran tidak mendapat kebenaran MBKT baru-baru ini. 

Rosli berkata, buat masa ini, penggiat busking akan dibenarkan untuk melakukan aktiviti itu.

 Permit tersebut mengikut budi bicara di bawah Klausa 20 Kaedah-Kaedah Hiburan Negeri Terengganu 2003.

 Beliau berkata, persembahan perlu mengikut garis panduan ditetapkan kerajaan negeri termasuk tidak melibatkan wanita dan tidak boleh dilaksanakan pada malam Jumaat.

 “Pemilik premis juga bertanggungjawab membuat permohonan untuk persembahan busker terbabit.

 “Sebarang pelanggaran boleh dikenakan tindakan perundangan termasuk kompaun maksimum RM25,000,” katanya.

No comments:

Post a Comment