Translate

Saturday, March 28, 2026

160,000 orang serbu Jualan Rahmah Madani Aidilfitri

KUALA NERUS – Seramai 160,000 pelanggan menyerbu lapan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Aidilftri anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di seluruh Terengganu semalam. 

Rata-rata mereka mahu mendapatkan barangan pada harga lebih murah seperti daging lembu tempatan RM17.99 sekilogram (kg), ayam segar (RM5.50/kg) dan bawang merah (79 sen/kg). 

Tinjauan di pekarangan Masjid Tok Jembal di sini mendapati orang ramai beratur sejak pukul 8 pagi untuk membeli daging lembu dan ayam segar.

 Lebih enam tan daging lembu dan 10 tan ayam segar laris dijual sehingga memaksa pihak penganjur mengehadkan pembelian bagi setiap pelanggan. 

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, program itu membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan raya pada harga rendah sehingga 30 peratus berbanding pasaran.

 “Bagi memastikan harga barangan ditawarkan lebih rendah, subsidi keseluruhan RM1.2 juta diperuntukkan. Ia dianjurkan serentak di semua lapan daerah di Terengganu dengan sasaran setiap tapak menarik sekurangkurangnya 20,000 pengguna,” katanya. 

Selain barangan keperluan, PJRM Aidilfitri turut menawarkan bahan membuat kuih raya seperti gula kastor, badam, esen vanila dan serbuk penaik. 

Sementara itu, pesara guru, Marzuki Abdul Ghani, 71, berkata, dia yang menetap di Seberang Takir di sini beratur sejak pukul 7.15 pagi untuk membeli daging lembu dan ayam segar biarpun operasi hanya bermula pukul 8 pagi. 

“Walaupun raya seminggu lagi bekalan ayam dan daging lembu boleh disimpan dalam peti sejuk sebelum dimasak sebagai juadah raya nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment