Translate

Tuesday, March 31, 2026

Scammer suruh letak kad bank celah pokok

 KUALA TERENGGANU – Seorang pesara kerajaan kerugian RM155,804 selepas meletakkan kad bank di celah pokok di hadapan rumahnya, gara-gara terlalu mempercayai seorang individu yang menyamar pegawai kanan polis. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kejadian bermula apabila wanita berusia 68 tahun itu dihubungi suspek kononnya pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang pada pukul 9 pagi, 16 Januari lalu.

 “Suspek mendakwa mangsa memiliki waran tangkap bagi siasatan kesalahan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan meter air yang dalam pemerhatian Bukit Aman.

 “Mangsa kemudian diarahkan menyerahkan semua maklumat perbankan termasuk tiga kad debit miliknya kononnya untuk siasatan kewangan,” katanya. 

Menurutnya, mangsa juga akur dengan arahan suspek agar memasukkan semua kad debit miliknya ke dalam beg plastik sebelum diletakkan di celah pokok di hadapan rumahnya. 

Katanya, mangsa terkejut apabila menerima notifikasi pengeluaran wang simpanan di dalam tiga akaun banknya dan Tabung Haji daripada pihak bank. 

“Dia kemudiannya menghubungi pihak bank untuk menyekat akaun-akaun itu. Semakan menerusi penyata bank mendapati pengeluaran wang dilakukan daripada tiga akaun bank dan Tabung Haji miliknya menerusi 55 transaksi secara pindahan wang.

 “Kesemua transaksi antara 16 Januari hingga 23 Januari lalu. 

Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pukul 3.35 petang kelmarin,” katanya.

No comments:

Post a Comment