Translate

Saturday, March 28, 2026

OKU dipukul: Jangan boikot pasar tani

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merayu orang ramai agar tidak memboikot perniagaan Pasar Tani Chukai di Kemaman yang kebetulan terletak berhampiran lokasi kejadian seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) mental dipukul minggu lalu. 

Pengarah FAMA Terengganu, Muhammad Fadlee Hassan berkata, insiden pukul itu berlaku di pasar pagi yang turut terletak di Padang Astaka, Chukai dengan waktu operasi sama iaitu 7 pagi hingga 12 tengah hari setiap Jumaat.

 “Walaupun pasar pagi itu turut dipanggil pasar tani, tetapi ia dikendalikan oleh persatuan penjaja setempat, manakala Pasar Tani Chukai pula di bawah kelolaan FAMA.

“Saya juga ingin mengesahkan peniaga terlibat juga bukan usahawan FAMA dan tidak terlibat dalam mana-mana pasar tani kelolaan agensi kami,” katanya ketika ditemui selepas memantau Pasar Tani Hiliran di sini semalam. 

Terdahulu segelintir pihak mengajak orang ramai memboikot perniagaan Pasar Tani Padang Astaka, Chukai ekoran insiden seorang lelaki OKU mental dipukul kerana melanggar sebuah gerai makanan panas pada 17 Januari lalu. 

Muhammad Fadlee berkata, beliau risau salah faham tersebut boleh menjejaskan perniagaan lebih 55 usahawan FAMA yang mencari rezeki di Pasar Tani Chukai. 

Katanya, usahawan FAMA yang berniaga di pasar-pasar tani tertakluk kepada peraturan ketat yang amat menjaga kepentingan dan keselamatan pelanggan. 

“Setiap pasar tani FAMA mempunyai ahli jawatankuasa yang dibantu penyelia terdiri pegawai agensi kami sendiri.

 “Sekiranya perkara sama (membelasah OKU) berlaku di pasar tani FAMA, tindakan buang akan terus diambil (terhadap peniaga terlibat),” katanya. 

Kata Muhamad Fadlee, setiap kesalahan dilakukan peniaga pasar tani FAMA akan dikenakan demerit dan kesalahan berulang akan meningkatkan demerit yang boleh menyebabkan usahawan terlibat dikenakan tindakan digantung atau disingkirkan. 

“Saya berharap semua pihak termasuk penduduk Kemaman terus menyokong perniagaan pasar tani dengan menjadikan ia pilihan utama (membeli barangan keperluan),” katanya.

No comments:

Post a Comment