KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pesara mendapatkan pinjaman RM10,000 bukan sahaja tidak kesampaian, malah dia kerugian RM92,781 selepas diperdaya sindiket skim pembiayaan peribadi tidak wujud.
Lebih malang, lebih RM40,000 daripada jumlah kerugian itu merupakan wang yang dipinjam lelaki berusia 60 tahun berkenaan daripada 10 rakannya.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, bekas penolong jurutera itu tertarik dengan iklan pinjaman wang yang dilihatnya di Facebook pada Jun lalu.
“Mangsa kemudiannya menghubungi nombor telefon tertera bagi memohon pinjaman sebanyak RM10,000.
“Dia kemudiannya menyerahkan butiran peribadi seperti salinan MyKad, bil utiliti, kad pencen dan butiran akaun bank kononnya bagi memproses permohonan pinjaman terbabit,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, pesara itu juga mengikut arahan suspek membuat pembayaran kononnya bagi urusan kelulusan pinjaman tersebut.
Katanya, pembayaran dilakukan lelaki itu dalam 86 transaksi ke dalam 28 akaun bank diberi suspek di antara 14 Jun hingga Khamis lalu.
“Mangsa akhirnya menyedari tertipu apabila dia terus dipaksa membuat pembayaran tambahan tanpa menerima walaupun sesen pun pinjaman dipohon.
“Dia juga diugut kononnya akan dikenakan tindakan mahkamah jika tidak mengikut arahan suspek,” katanya.
Sementara itu, di Dungun, hasrat seorang doktor swasta untuk mengaut keuntungan berganda bukan sahaja tidak kesampaian, malah simpanannya lebih setengah juta pula lesap diperdaya skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, pada mulanya, wanita berusia 32 tahun itu tertarik dengan iklan skim pelaburan itu yang dilihatnya di akaun Instagram pada bulan Januari lalu.
“Mangsa kemudiannya telah berhubung dengan individu tidak dikenali yang mendakwa kononnya wakil pengendali skim pelaburan terbabit.
“Dia kemudian membayar RM300 bagi mendapat akses video tutorial urus niaga perdagangan pelaburan terbabit,” katanya.
Ujarnya, doktor itu yang berminat kemudiannya telah melabur dalam skim pelaburan itu.
“Begitupun, wanita itu didakwa telah melakukan kesalahan dalam urus niaga.
“Mangsa kemudiannya telah diarahkan membayar ganti rugi atas kesilapan dilakukannya dengan digertak kononnya akan dikenakan tindakan mahkamah jika tidak melunaskannya. “
Dia akur membayar ‘ganti rugi’ berkenaam menerusi 77 transaksi pindahan wang yang berjumlah keseluruhan RM558,000,” katanya.
No comments:
Post a Comment