Translate

Saturday, March 14, 2026

160,000 pengguna Terengganu serbu PJRM Aidilfitri KPDN

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seramai kira-kira 160,000 pengguna menyerbu lapan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Aidilftri anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diadakan di seluruh Terengganu hari ini.

Mereka mahu mendapatkan barangan dapur dan keperluan untuk menyambut Aidilfitri minggu depan pada harga lebih murah seperti daging lembu tempatan RM17.99 sekilogram (kg), ayam segar (RM5.50/kg) dan bawang merah (79 sen/kg).

Tinjauan di PJRM peringkat Kuala Nerus di pekarangan Masjid Tok Jembal di sini hari ini mendapati orang ramai sanggup beratur panjang sejak pukul 8 pagi lagi terutama untuk membeli daging lembu dan ayam segar.

Lebih enam tan daging lembu dan 10 tan ayam segar disediakan laris dijual sehingga memaksa penganjur PJRM tersebut mengehadkan pembelian bagi setiap pelanggan.

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, penganjuran PJRM Aidilfitri tersebut merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat mendapatkan barang keperluan untuk sambutan raya pada harga sehingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran.

“Bagi memastikan harga barangan ditawarkan di PJRM Aidilfitri ini lebih rendah daripada pasaran, subsidi keseluruhan RM1.2 juta telah diperuntukkan.

“Ia dianjurkan serentak hari ini di semua lapan daerah di Terengganu dengan sasaran setiap tapak PJRM menarik sekurang-kurangnya 20,000 pengguna,” katanya selepas memantau PJRM peringkat Kuala Nerus di sini hari ini.

Mohd. Mufsi berkata, selain barangan keperluan, PJRM Aidilfitri tersebut turut menawarkan bahan membuat kuih raya seperti gula kastor, badam, esen vanila dan serbuk penaik juga pada harga murah. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment