Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA NERUS – Seorang wanita terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu kedai makan sematamata untuk memberi sepenuh perhatian bagi menjaga kedua orang tuanya yang diuji dengan masalah kesihatan.
Siti Zawiyah Sepei, 37, berkata, bapanya, Sepei Jusoh, 75, kini terlantar sakit akibat kebocoran usus, manakala ibunya, Aini Jusoh, 68, pula menderita penyakit darah tinggi.
“Ayah pada mulanya menderita penyakit gout kronik sehingga menyebabkan sendi kakinya membengkok pada tahun 2014.
“Keadaan itu menyebabkan ayah tidak mampu lagi berjalan seperti biasa sebelum ususnya pula bocor pada tahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk, Tepoh di sini baru-baru ini.
Kata Siti Zawiyah, dia tidak sanggup melihat kedua-dua ibu bapanya menguruskan diri sendiri sehingga memaksanya berhenti kerja pada tahun lalu.
Anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, selain menguruskan rumah, dia juga memandikan, menyalin lampin pakai buang dan beg stoma bapanya setiap hari.
“Sebagai anak, saya cuba buat yang terbaik walaupun sedar tindakan saya ini tidak mampu membalas jasa ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan saya.
“Kos perubatan ayah dan mak seperti susu khas, lampin pakai buang, beg stoma dan ubatubatan mencecah RM1,600 sebulan,” katanya.
Siti Zawiyah berkata, bapanya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.
Ibu kepada dua anak berusia lima dan 14 tahun berkata, kebanyakan perbelanjaan perubatan ibu bapaya ditampung adik-beradik lain dan suaminya yang bekerja di kedai pendingin hawa.
“Ikutkan tidak cukup lagipun pendapatan suami dan adik-beradik yang tidak seberapa, tapi kami cuba sedaya upaya menjaga ayah dan mak,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank Sepei bernombor 11102-41-00013509-5 (Bank Simpanan Nasional) atau menghubungi Siti Zawiyah di talian 0111-296 8436

No comments:
Post a Comment