Translate

Friday, January 2, 2026

Fenomena air pasang besar, 64 penempatan Terengganu diramal terjejas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 64 perkampungan yang terletak di 13 muara sungai di semua daerah di Terengganu kecuali Hulu Terengganu berisiko dinaiki air berikutan fenomena air pasang tinggi yang diramal berlangsung sehingga Isnin ini.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir. Osman Abdullah berkata, sepanjang tempoh tersebut, paras air laut dijangka meningkat antara 2.7 hingga 3.5 meter.

“Antara lokasi dikhuatiri terjejas di Kuala Terengganu ialah Pulau Duyong, Pulau Ketam, Pulau Rusa, Pulau Sekati, Losong, Kampung Hiliran, dan Taman Lembah Harapan.

“Taman Desa MBKT, Kampung Laut, Kampung Sungai Derhaka, Taman Chendering Utama, Taman Desa Setia, Taman Tok Adis, dan Kampung Kubang Ikan, juga dikhuatiri terkesan,” katanya di sini hari ini.

Osman berkata, Kuala Nerus pula melibatkan Seberang Takir, Kampung Ulu Takir, Taman Permint Perdana dan Taman Tengku Ismail.

Beliau berkata, Kampung Gong Batu, Kampung Pengkalan Gelap, Kampung Limau Nipis, Kampung Fikri, Kampung Kuala Setiu dan Kampung Telaga Papan di Setiu juga dikhuatiri terjejas.

“Selain itu, ia turut melibatkan Kampung Pengkalan Atap, Kampung Teluk Budu, Kampung Pantai dan Kampung Pachakan di Besut.

“Marang pula kawasan yang dijangka berisiko ialah Kampung Darat Pak Chan, Kampung Rusila, Kampung Rhu Dua dan Kampung Rhu Rendang,” katanya.

Osman berkata, fenomena air pasang besar itu turut dikhuatiri memberi kesan kepada Kampung Che Lijah,Kampung Seberang Pintasan, Kampung Teluk Bidara dan Kampung Tanjung Jara di Dungun.

Beliau berkata, penduduk Pulau Skepeng Kuala Kemaman, Pengkalan Cicar Bukit Kuang dan Kampung Bakau Tinggi di Kemaman juga perlu berwaspada. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment